1 March 2013

Cabaran Sebagai Seorang Pelajar

Dalam entri yang lalu, saya ada menyatakan yang kehidupan seorang pelajar amat menyeronokkan. Ya, memang benar bergelar pelajar memang menyeronokkan, akan tetapi, ia dikatakan mempunyai cabarannya yang tersendiri. Benarkah? Mungkin benar namun janganlah kita bimbang sangat, sampai cakar-cakar dinding atau gigit kaki kerusi pula,  setiap cabaran dan permasalahan pasti boleh diatasi dengan cara dan kaedah yang betul. Ada pepatah berbunyi, dimana ada kemahuan, disitu ada jalan.
Jadi, apakah cabarannya?
1. Mengimbang aktiviti kampus dan akedemik
Bukan mudah membuat dua perkara dalam satu masa. Ia sama seperti sebelah tangan menggosok paha dan sebelah lagi menepuk paha dan tukar dengan pantas. Sukar bukan? Tetapi ingat! Saya tidak menyatakan ia mustahil, saya cuma beranggapan ia sedikit sukar. Penyelesaiannya ialah pengurusan masa. Seorang pelajar haruslah bijak menguruskan masanya dengan baik. Selepas ini saya akan menyentuh lebih dalam mengenai pengurusan masa.
2.Tugasan yang banyak
"Alamak, banyaknya assignment!" Itu mungkin salah satu rungutan seorang pelajar universiti. Memang kebiasaan bagi pelajar menerima tugasan yang diberikan pensyarah, akan tetapi kadang-kala ia menjadi terlalu banyak sehingga ada pelajar terpaksa berjaga sepanjang malam untuk menyiapkannya. Benarkah bergitu? Tidak seratus peratus benar pada pendapat saya, saya tidak nafikan kekadang tugasan yang berlambak menekan saya. Tetapi, saya boleh menyelesaikannya dengan satu cara yang kebanyakkan pelajar gagal untuk buat, JANGAN BERLENGAH!. Ramai rakan-rakan yang suka mengamalkan sikap berlengah dan suka membuat kerja last minute lalu mengakibatkan tekanan perasaan dan hasil kerja yang tidak memuaskan.
3. Terleka
Mudah terleka dengan perkara-perkara lain yang diluar bidang akademik seperti hiburan dan aktiviti sukan. Aktiviti-aktiviti sedemikian tidak salah, malahan perlu bagi seorang pelajar melibatkan diri dengan aktiviti tersebut. Akan tetapi, jangan terlalu fokus terhadap aktiviti tersebut hingga mengabaikan akademik yang sepatutnya diutamakan. Pepatah ada berbunyi, tarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus tepung jangan berselerak. Amalkan pepatah tersebut dalam kehidupan anda. Uruskan 2 perkara tersebut dengan bijak.
4. Pelajaran Susah
Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian. Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Ingatlah rakan-rakan, tidak ada perkara yang mudah di dunia ini. Semuanya memerlukan usaha. Pernah saya mendengar seorang pakar motivasi berkata "tiada kejayaan tanpa pengorbanan kecuali satu kebetulan". Benar kata-kata itu, untuk sesuatu yang berharga pada masa hadapan haruslah kita berusaha dan berkorban. Gunakan kaedah pembelajaran yang betul, kemaskan nota anda, perbanyakkan latihan, kerapkan ulangkaji. Insyaallah kejayaan akan menyusul.
5.Masa terhad
Pernah anda berkejaran ke sana ke mari semata-mata untuk menyiapkan tugasan atau ke kelas. Benarkah bergitu? Cuba anda rewind balik aktiviti anda sebelum adegan kejar-mengejar tersebut. Adakah pergerakkan anda lincah seperti arnab atau dalam keadaan slow motion seperti kura-kura? Mengapa saya bertanya demikian? Kerana anda berlengah dalam melakukan sesuatu. Adakah berjalan ke kafe atau library mengambil masa hingga setengah jam? Makan sehingga sejam? Pantas rakan-rakan! Sekarang dunia semakin pantas, anda terlambat anda akan tertinggal. Jangan sia-siakan masa anda, bukankah masa itu emas.
Banyak lagi masalah yang dianggap cabaran bagi pelajar yang tidak sempat saya senaraikan di sini. Kesimpulannya, kebanyakkan masalah ini bukanlah masalah besar, tetapi diperbesarkan oleh pelajar itu sendiri. Sesetengah masalah itu pula timbul akibat tindakan pelajar sendiri, jadi siapakah sebenarnya patut dipersalahkan? Sistem pembelajarankah? Adakah kita yang perlu berubah mengikut keadaan atau perlu mengubah keadaan mengikut selera kita? Jawapannya saya rasa anda boleh fikir sendiri. :-)

Related Articles

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.

Followers

Search This Blog

Follow US on Google+

Follow Me!

Pages

Social Icons

Follow on Facebook

Pages - Menu

Advertisement